KUANTAN 9 Nov – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menahan ketua dan tujuh pengikut kumpulan dikenali sebagai Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi kerana disyaki terbabit dalam kegiatan ajaran sesat, dalam satu serbuan di Jerantut kelmarin.
Pengarah JAIP, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 2.30 petang di sebuah bekas gudang perabot yang dipercayai dijadikan tempat tinggal kumpulan berkenaan di Kampung Sungai Putat, Pulau Tawar.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi turut menemui pelbagai dokumen serta barangan yang disyaki bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan berunsur khurafat.
“Antara barangan dirampas ialah tongkat, ikatan kain kuning, kain hitam yang didakwa boleh mengayakan orang, serta batu yang dililit kain kuning.
“Turut dirampas ialah kertas mengandungi cara niat solat jamak fardu seumur hidup, nota lafaz selawat dan ikrar berunsur meragukan. Penemuan ini mengukuhkan syak wujudnya amalan yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semua bahan rampasan itu akan dirujuk kepada Jabatan Mufti Pahang bagi penelitian lanjut.
Ahmad Khirrizal berkata, ketua kumpulan berusia 45 tahun itu berasal dari Kampung Sungai Tekam Utara, Jerantut, dan digelar ‘ayahanda’ oleh pengikutnya. Lelaki itu dilaporkan menyewa dan mengubah suai gudang perabot tersebut menjadi penempatan kumpulan itu sejak lebih dua tahun lalu.
Premis berkenaan turut didiami isteri ketua kumpulan serta empat anak mereka berusia antara lapan hingga 15 tahun.
“Siasatan awal mendapati pengikut kumpulan itu berusia 45 hingga 66 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor serta Melaka. Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti sejak bila kegiatan ini bermula serta mengesan individu lain yang mungkin terlibat,” katanya.
Setakat ini, semua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod kesalahan syariah, namun semakan lanjut berkaitan rekod jenayah turut dilakukan oleh polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 kerana memiliki dan menyimpan dokumen bertentangan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 19 enakmen sama kerana tidak menunaikan solat Jumaat, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Semua suspek dibebaskan semalam dengan jaminan pegawai penguat kuasa JAIP sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan sebelum dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Jerantut.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12373

Leave a Reply