KLANG 9 Nov. – Polis mengesahkan bahawa video tular memaparkan sepasukan anggota menahan seorang individu di sini sebenarnya hanyalah latihan amal simulasi melibatkan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, latihan tersebut dijalankan pada jam 10 pagi Sabtu oleh Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.
Menurut beliau, seramai dua pegawai dan 26 anggota IPD Klang Utara terlibat dalam latihan berkenaan, termasuk koordinasi bersama Cawangan Pusat Kawalan Polis, Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam IPD Klang Utara.
“Latihan ini dijalankan bagi mengkaji keberkesanan serta kesiapsiagaan anggota MPV, URB dan pusat kawalan dalam menangani situasi mengejar penjenayah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenangnya memuat naik rakaman atau kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
“Tindakan boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat tidak benar mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegasnya.
Sebelum ini, tular sebuah video di Facebook mendakwa berlaku tangkapan susulan kes samun kedai emas di Klang, namun polis menegaskan rakaman tersebut hanyalah sebahagian daripada latihan simulasi.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12374

Leave a Reply