MUKAH 10 Nov – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang ditunggang mereka merempuh sebuah lori rosak yang diletakkan di tepi jalan di Kilometer 97 Jalan Pan Borneo Sibu-Bintulu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias memaklumkan, kejadian berlaku pada pukul 7.45 malam.
Menurut beliau, pasangan berusia 28 tahun itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan motosikal yang ditunggang pasangan suami isteri dari arah Bintulu menuju Selangau. Sebaik tiba di lokasi, motosikal tersebut hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis juga menggesa saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Mohd Rahmat Jalimin di talian 011-31627137 atau 084-871222, atau mana-mana balai polis berdekatan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12395

Leave a Reply