KOTA BHARU, 12 Nov — Polis Thailand mengesahkan kes seorang lelaki rakyat Malaysia, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, ditembak mati di pekan Sungai Golok pada 1 November lalu, dipercayai berpunca daripada pertengkaran berkaitan hutang perniagaan pakaian dan bukan isu dadah.
Menurut laporan Berita Harian, Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha, berkata mangsa dipercayai enggan melangsaikan hutang ribuan ringgit kepada suspek, bekas pemain bola sepak Kelantan berusia 31 tahun.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dan suspek telah beberapa kali bergaduh mengenai hutang itu sejak tahun lalu, dan sebelum ini pertelingkahan mereka berjaya diselesaikan oleh rakan dan saudara-mara.
“Namun, pertengkaran ketiga berlaku awal bulan ini yang berakhir dengan suspek melepaskan tembakan beberapa kali terhadap mangsa,” katanya.
Menurut Prayong, polis menolak dakwaan bahawa insiden itu mempunyai kaitan dengan dadah, tetapi siasatan lanjut masih dijalankan. Suspek kini ditahan di penjara Narathiwat.
Media tempatan sebelum ini melaporkan mangsa ditembak lapan kali sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Golok dan disahkan meninggal dunia pada malam sama. Isteri mangsa yang sedang sarat mengandung berkata, suaminya terkena sebanyak 18 das tembakan dalam insiden itu.
Suspek menyerah diri di balai polis pada 2 November dan polis telah menyita dua pucuk pistol daripada lelaki berkenaan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12440

Leave a Reply