‘Tiada bukti wujud akaun ‘fake’ sokong Anwar’ – Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR 12 Nov – Dakwaan kononnya wujud rangkaian akaun palsu di media sosial untuk menyebarkan persepsi positif terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah tidak benar.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata penyedia platform media sosial Meta telah mengesahkan tiada aktiviti abnormal dikesan di laman Facebook Perdana Menteri.

“Saya selalu cakap memang banyak akaun palsu diwujudkan untuk promosi scam’ dan laporan daripada Reuters juga mengesahkan 10 peratus keuntungan yuran pengiklanan dibayar oleh scammer’. Tetapi dalam kes ini, Meta sudah keluarkan kenyataan tiada aktiviti-aktiviti abnormal, jadi kita perlulah menerima kenyataan tersebut,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) sama ada kerajaan akan memanggil media yang mendakwa wujud rangkaian tentera siber terdiri daripada 263 akaun palsu bagi menaikkan sokongan terhadap Perdana Menteri di media sosial.

Terdahulu, Nie Ching menjelaskan kerajaan tidak memanggil media terbabit kerana menghormati kebebasan media. Menurutnya, walaupun kerajaan kurang bersetuju dengan kandungan artikel tertentu, tindakan memanggil media untuk memberi keterangan tidak semestinya perlu.

“Kita kurang setuju, maka kita menyatakan pendirian kita, dan tak semestinya tiap-tiap kali panggil mereka untuk rekod kenyataan. Kalau kerajaan ambil tindakan, saya percaya pembangkang juga akan tuduh kerajaan tidak hormat kebebasan media,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12442

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *