KPM jamin pemasangan CCTV di sekolah tidak langgar privasi murid

KUALA LUMPUR 12 Nov – Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan bahawa pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama penuh di seluruh negara akan mendedahkan murid kepada risiko pelanggaran privasi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata prosedur operasi standard (SOP) penggunaan, pemasangan dan akses kepada CCTV telah dimuktamadkan, termasuk spesifikasi tempoh simpanan rakaman minimum selama 30 hari.

Beliau menjelaskan bahawa garis panduan berkaitan pemasangan CCTV mengambil kira keperluan bagi keseimbangan antara keselamatan dan privasi murid.

“Tanggungjawab diletakkan kepada pentadbir sekolah untuk memastikan CCTV dan aset lain dijaga dengan baik, disenggara dan berfungsi. Setiap set CCTV juga ditetapkan dengan spesifikasi teknikal di bawah garis panduan,” katanya.

Wong menambah, harga siling bagi setiap set CCTV ialah RM15,000 dan kaedah pemerolehan ditentukan oleh Kementerian Kewangan melalui peruntukan kepada sekolah, Jabatan Pendidikan negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai inisiatif pemasangan CCTV dan garis panduan semasa sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12443

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *