ALOR SETAR 13 Nov – Seorang lelaki maut selepas disambar petir ketika pulang daripada memancing bersama tiga rakannya di Jeti Nelayan Teluk Baru, Langkawi, semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, mangsa, Ishak Hashim, 57, dari Kampung Berjaya, Langkawi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.
Menurut beliau, kejadian berlaku sekitar jam 7.20 malam ketika mangsa dan rakan-rakannya baru tiba di jeti dalam keadaan hujan lebat selepas seharian memancing.
“Sebelum kejadian, mangsa sempat mencuci bot dan menunaikan solat Maghrib sebelum mengambil keputusan untuk pulang walaupun hujan kerana sudah basah dan tidak tahan sejuk. Ketika hendak mengambil batang pancing, mangsa disambar petir lalu jatuh ke bawah jeti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang awam yang berada di lokasi segera membantu mengangkat mangsa ke atas bot sebelum dibawa ke darat, namun mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia sejam selepas dirawat di hospital.
Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12458

Leave a Reply