Johor negeri pertama beri insentif khas kepada pengamal media melalui Bantuan Kasih Johor

ISKANDAR PUTERI 13 Nov – Johor mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia memperkenalkan insentif khas kepada pengamal media di bawah inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2026.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 bagi pemberian tunai RM1,000 seorang kepada pengamal media yang berdaftar dengan Kelab Media Johor (KMJ).

Menurutnya, insentif itu merupakan sebahagian daripada 23 komponen BKJ yang melibatkan peruntukan melebihi RM157 juta bagi membantu pelbagai lapisan rakyat.

“BKJ akan memanfaatkan lebih 330,000 rakyat termasuk anak yatim, ibu tunggal, petani, pesakit kronik dan warga emas.

“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip ‘Setiap sen hasil negeri dipulangkan kepada rakyat’ serta semangat Bangsa Johor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar, hari ini.

Tambah beliau, pelaksanaan BKJ menggambarkan kasih sayang dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat, selaras dengan agenda Maju Johor yang berteraskan kesejahteraan dan keadilan sosial.

Antara bantuan utama lain yang diumumkan ialah:

BKJ Anak Yatim Johor – RM2,000 seorang dalam bentuk tunai dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk 12,307 anak yatim dengan peruntukan RM24.6 juta.

BKJ Ketua Isi Rumah Miskin Tegar dan Miskin – RM2,000 seorang kepada 9,714 penerima dengan peruntukan RM19.43 juta.

BKJ Ibu Tunggal (YPKDT) – RM500 seorang untuk 48,537 penerima dengan peruntukan RM24.27 juta.

BKJ Petani, Penternak dan Nelayan – RM400 seorang kepada 33,976 penerima dengan peruntukan RM13.6 juta.

BKJ Pesakit Kanser dan Dialisis – bantuan antara RM600 seorang dengan peruntukan lebih RM7 juta.

Onn Hafiz menegaskan, inisiatif itu adalah bukti komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan hasil negeri dikembalikan untuk kesejahteraan rakyat Johor.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12463

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *