MANCHESTER – Pengurus legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson memuji prestasi dipamerkan penjaga gol baharu pasukan itu, Senne Lammens dan percaya pemain itu memiliki masa depan yang cerah untuk muncul penjaga gol utama dalam tempoh yang lama.
Posisi penjaga gol menjadi isu besar buat United sejak beberapa musim lalu apabila Andre Onana dan Altay Bayindir gagal menepati jangkaan yang diletakkan menyebabkan kelab itu membuat keputusan mendapatkan Lammens pada musim panas lalu.
Selepas membuat lima penampilan bermula aksi tanpa bolos menentang Sunderland serta memainkan peranan penting untuk kemenangan ke atas Liverpool, Lammens mula dilihat sebagai wira baharu pasukan itu.
“Pengurus menerima isyarat baharu yang lebih baik ketika ini. Penjaga gol mereka cukup luar biasa, walaupun baru beraksi tiga atau empat perlawanan, dia (Lammens) sudah memperlihatkan potensi besar.
“Saya berharap mereka akan meraih kejayaan kerana di United kami perlukannya. Beberapa pemain baharu yang ditandatangani cukup positif, memberi nilai tambah buat pasukan.
“United adalah sebuah pasukan yang sentiasa memerlukan kemenangan. Tetapi, melalui proses putaran prestasi menyebabkan semua pihak perlu bersabar dan saya melihat perubahan itu ada,” katanya.
Ferguson dianggap antara pengurus yang cukup teliti memilih penjaga gol apabila tiga daripada bekas pemainnya, Peter Schmeichel, Edwin Van Der Sar dan David De Gea dianggap sebagai berkelas dunia.
Lammens yang beraksi bersama Royal Antwerp sebelum ini hanya beraksi sebanyak 52 penampilan dalam saingan utama Liga Belgium, namun pengendali United, Ruben Amorim meletakkan sepenih keyakinan terhadap kemampuannya. – AGENSI
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/18/epl-lammens-dapat-restu-alex-ferguson/

Leave a Reply