KLUANG 19 Nov – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan pasangan rakan sekerja, seorang lelaki dan seorang wanita berstatus isteri orang, selepas mereka didapati berkhalwat di sebuah hotel di bandar ini semalam.
Menurut kenyataan JAINJ, serbuan dilakukan pada pukul 10 pagi selepas penguat kuasa mendapati televisyen dalam bilik dipasang kuat sehingga boleh didengar dari luar.
Pintu bilik hanya dibuka lebih lima minit kemudian oleh seorang lelaki berpakaian jeans dan t-shirt. Lelaki itu juga cuba menutup semula pintu apabila mengetahui kehadiran penguat kuasa, namun pintu berjaya ditolak dan anggota memasuki bilik tersebut.
Pemeriksaan mendapati tingkap bilik terbuka, dua bungkus nasi lemak serta kopi panas belum disentuh, manakala katil dan selimut dalam keadaan berselerak.
Penguat kuasa kemudian mengetuk pintu tandas yang berkunci sambil meminta penghuni keluar. Selepas dipujuk oleh lelaki tersebut, seorang wanita keluar dengan berpakaian t-shirt, seluar panjang dan kain menutup kepala.
Siasatan mendapati lelaki berusia lingkungan 50-an itu merupakan suami orang dan mempunyai anak, manakala wanita berusia 30-an juga berstatus isteri orang. Mereka bekerja di tempat yang sama dan mengenali pasangan masing-masing.
JAINJ memaklumkan kedua-duanya mengambil cuti pada hari kejadian tanpa pengetahuan pasangan masing-masing. Mereka masuk ke hotel sekitar pukul 8 pagi dan dijadualkan keluar pada 12 tengah hari.
Pasangan itu ditahan atas kesalahan berkhalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12579

Leave a Reply