HULU SELANGOR 20 Nov – Sebuah kenderaan perdagangan yang dijadikan bas sekolah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor selepas didapati melakukan sejumlah kesalahan berat dalam pemeriksaan sempena Ops Khas Kenderaan Perdagangan di Persiaran Kemboja, Bukit Beruntung, semalam.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, berkata siasatan mendapati kenderaan itu bukan sahaja beroperasi tanpa permit yang sah, malah turut gagal mematuhi beberapa aspek keselamatan penting.
“Antara kesalahan yang dikesan dalam operasi itu ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, ketiadaan insurans, pemeriksaan Puspakom tamat tempoh, tiada lesen memandu kelas CDL, tiada lesen PSV serta beberapa kesalahan teknikal lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, JPJ komited meneliti setiap aduan awam dan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, terutama membabitkan kenderaan yang membawa pelajar.
Susulan pemeriksaan itu, kenderaan berkenaan dibawa ke Stor Penyimpanan Kenderaan Kalumpang untuk tindakan lanjut.
JPJ dalam pada itu menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesalahan lalu lintas supaya menyalurkannya melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau platform e-Aduan, lengkap dengan butiran pengadu dan aduan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12609

Leave a Reply