KUALA LUMPUR 20 Nov – Separuh daripada jemaah haji yang menerima tawaran untuk menunaikan ibadah haji tahun ini didapati menolak peluang berkenaan, dengan faktor kewangan dikenal pasti sebagai sebab utama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata semakan menunjukkan 50 peratus jemaah yang layak mengerjakan Rukun Islam kelima itu memilih untuk tidak meneruskan tawaran berikutan kekangan kewangan.
Beliau turut mendedahkan bahawa 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit Tabung Haji (TH) hanya mempunyai simpanan kurang RM1,300.
Menurutnya, jumlah itu menyebabkan ramai pendeposit tidak layak menunaikan haji kerana simpanan sedia ada tidak mencukupi bagi menampung kos ibadah tersebut.
“Ini kerana TH kini kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten biarpun ia ditubuhkan dengan dua matlamat utama, iaitu sebagai institusi penabungan dan organisasi memudah cara perjalanan haji umat Islam ke Tanah Suci.
“Peranan TH sebagai institusi penabungan mula terkesan apabila perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan lain yang lebih menarik seperti unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan skim persaraan swasta,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berhubung kos keseluruhan projek penjenamaan semula TH, termasuk peruntukan kewangan yang sudah dimuktamadkan.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata TH perlu melaksanakan strategi baharu termasuk peremajaan jenama bagi memastikan ia kekal relevan dan kembali menarik minat umat Islam untuk menabung secara konsisten.
“Ini terutama dalam usaha menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji, selain matlamat inisiatif itu bertujuan menyusun semula strategi untuk meningkatkan kembali paras simpanan individu pendeposit yang kini amat rendah.
“Bagi tiga tahun terkini, simpanan terkumpul hanya meningkat melalui pelaburan semula agihan keuntungan dan bukan secara organik,” katanya.
Mengenai kos penjenamaan semula, Mohd Na’im menjelaskan peruntukan bagi perkhidmatan konsortium perunding bernilai RM5.9 juta atau kira-kira RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun seperti dimaklumkan pada 16 Ogos lalu.
Setakat ini, TH telah membelanjakan RM1.9 juta, selari dengan kemajuan semasa projek tersebut.
“Hanya peruntukan kos perunding yang dimuktamadkan dan tiada sebarang kontrak lain dimeterai, setakat ini.
“Peruntukan ini juga mengguna pakai bajet tahunan sedia ada bagi aktiviti pemasaran dan komunikasi TH,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12611

Leave a Reply