Dua ‘katak’ disita, seorang lagi diburu kerana minta sedekah di jalan raya

KUALA LUMPUR 20 Nov – Tindakan tiga individu memakai kostum ‘katak’ berwarna kuning, merah dan hijau meminta sumbangan di tengah jalan lampu isyarat di laluan Semabok–Bukit Senjuang, Melaka membawa padah apabila dua daripada mereka dikenakan sitaan semalam.

Pakaian maskot milik ‘katak’ kuning dan merah disita oleh anggota Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di Taman Semabok, manakala ‘katak’ hijau kini diburu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata siasatan mendapati kegiatan meminta sumbangan dengan memakai kostum itu dilakukan oleh warga tempatan dan warga asing.

“Ada bukan warganegara, ada warganegara dewasa, ada warganegara bawah umur 16 tahun. Pergilah cari rezeki di tempat yang tak bahayakan orang lain. Mohon permit dan cari lokasi selamat, selesai,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata, tidak dapat dipastikan sama ada ketiga-tiga individu berkenaan beroperasi atas arahan sindiket atau sebaliknya.

“Tak tahu. Rasanya adalah tokey tu. Sebab takkan datang dari negeri utara ke sini buat kerja macam ni (rujukan pada kad pengenalan).

“Yang menjaja dan pengemis lain tak tangkap? Menjaja urusan pihak berkuasa tempatan. Lokasi bahaya tindakan serta-merta.

“Isu paling utama adalah keselamatan. Berapa banyak kemalangan dan nyaris kemalangan berlaku kerana perbuatan mereka. Semoga kita semua terselamat daripada bahaya,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12614

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *