PENINGKATAN dua anak tangga kedudukan Harimau Malaya dalam ranking dunia untuk berada di tempat ke 116 memberikan mesej jelas bahawa para pemain sentiasa menjadikan maruah Malaysia sebagai perkara paling utama.
Disebalik isu pemalsuan dokumen yang membayangi arena bola sepak negara ketika ini, para pemain sudah mengerah segala kudrat untuk memastikan cerita lebih positif mampu diberikan kepada peminat termasuk kemenangan 1-0 ke atas Nepal, Selasa lalu.
Walaupun masalah luar padang mewarnai bola sepak Malaysia, pemain naturalisasi negara, Paulo Josue tetap melabel 2025 sebagai tahun paling sempurna buat pasukan kebangsaan.
“Kami mempunyai tahun yang sangat baik, kami menang semua perlawanan termasuk aksi persahabatan. Saya rasa ia satu pencapaian yang hebat untuk kami, untuk barisan kejurulatihan.
“Saya rasa kami telah menunjukkannya (kemampuan sebenar), saya hanya berharap pada kem latihan seterusnya pada bulan Mac, kami boleh menewaskan Vietnam atau sekurang-kurangnya tidak tewas untuk kami kekal di puncak,” katanya.
Ketika ini, Harimau Malaya sedang mendahului carta Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 dengan mata maksimum hasil lima perlawanan.
Kemaskini terbaharu daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu juga menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ke-21 di benua Asia di belakang Vietnam, naik dua tangga berbanding sebelum ini.
Bagi kelompok pasukan di Asia Tenggara, skuad negara berada di kedudukan ketiga di belakang Thailand (95) dan Vietnam (110).
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/21/ranking-harimau-malaya-naik/

Leave a Reply