468 PATI ditahan dalam Ops Gempur besar-besaran di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS 20 Nov – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melancarkan operasi penguatkuasaan mega, Ops Gempur, secara serentak di beberapa lokasi tumpuan sekitar Cameron Highlands termasuk Tanah Rata, Brinchang, Ringlet, Kea Farm, Tringkap, Taman Corina serta kawasan Lojing, Kelantan.

Operasi bermula jam 11 pagi itu melibatkan kekuatan 547 pegawai Imigresen pelbagai pangkat dari seluruh negara dan dipecahkan kepada empat zon utama bagi memastikan liputan yang lebih menyeluruh.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata seramai 1,886 individu diperiksa, merangkumi 1,447 warga asing dan 439 warga tempatan. Daripada jumlah itu, 468 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen membabitkan warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia, Pakistan, Nepal, India dan China.

“Ketika serbuan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan bersembunyi termasuk di dalam tangki air simpanan selepas menyedari kehadiran anggota operasi. Ada juga PATI yang menyamar sebagai pelancong,” katanya pada sidang media.

Antara kesalahan dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, menggunakan kad yang tidak diiktiraf serta kesalahan lain di bawah Akta Imigresen.

Kesemua yang ditahan akan ditempatkan di Depot Imigresen Ajil, Kemayan, Langkap, Beranang, Semenyih dan KLIA untuk siasatan serta tindakan lanjut.

Zakaria menegaskan JIM akan meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). Tindakan sama akan diambil terhadap individu atau pihak yang menggaji serta melindungi PATI.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Haji Basri Othman; beberapa pengarah bahagian dari Ibu Pejabat JIM serta Pengarah Imigresen negeri.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12633

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *