Wanita Malaysia terkandas di Hatyai terima bantuan, mohon maaf atas kekecohan tular

KUALA LUMPUR 22 Nov – Wanita Malaysia yang tular selepas terkandas akibat banjir di Hatyai, Thailand memaklumkan bahawa dia dan keluarganya kini sudah menerima bantuan keperluan asas, termasuk susu, lampin pakai buang dan makanan.

Dalam hantaran terbaharu di Facebook, Lily Suraini mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin serta tampil menghulurkan bantuan.

“Assalamualaikum semua, terima kasih atas bantuan. Kami dah dapat bantuan susu, lampin dan makanan. Terima kasih banyak kepada hamba Allah yang sangat ramai membantu kami. Tak dapat nak sebut sebab ramai. Saya pun dah dapat mengecas telefon,” katanya.

Dalam masa sama, Lily memohon maaf atas segala kesulitan susulan perkongsian terdahulunya yang mengundang pelbagai reaksi di Malaysia dan Thailand.

“Saya memohon maaf kepada seluruh ‘page’ Malaysia dan Thailand dan orang-orang pelancongan yang ditekan-tekan oleh netizen untuk membantu saya. Saya tak jangka perkara ini berlaku,” katanya.

Lily turut mengakui menerima kecaman, termasuk dituduh sebagai penipu dan mencari pengikut, namun memilih untuk memohon maaf dan meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima.

“Ramai yang maki saya sebab menyusahkan orang, kata saya scammer mencari pengikut… saya mohon maaf atas segalanya. Saya tak sangka seramai ini akan kongsi status saya.

“Saya akan berhenti untuk kemaskini apa-apa dan menunggu di sini sehingga semuanya baik dan dapat balik ke Malaysia. Saya mohon untuk semua kongsi status ini dan kes tutup,” ujarnya.

Terdahulu, Lily dan keluarganya dilaporkan terperangkap di sebuah hotel di Hatyai selepas banjir besar melanda daerah itu semalam berikutan hujan berterusan.

Dia sebelum ini meminta bantuan kedutaan serta orang ramai untuk mendapatkan bekalan susu dan lampin bagi dua anaknya berusia dua dan empat tahun, selepas bekalan elektrik terputus dan bateri telefon hampir habis.

Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke Selatan Thailand termasuk Hatyai, susulan keadaan hujan lebat dan banjir yang semakin memburuk.

Katanya, situasi itu menyebabkan sebahagian rakyat Malaysia terkandas di beberapa hotel di sekitar Hatyai.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12669

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *