12 kakitangan Perhutanan cedera lori terbabas masuk gaung di Tapah

TAPAH 24 Nov – Seramai 12 kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan malim gunung cedera selepas lori dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter di Jalan Gunung Batu Putih–Hutan Lipur Kuala Woh, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, lori yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an membawa 11 penumpang dalam perjalanan pulang selepas memasang papan tanda di sekitar Gunung Batu Putih.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika hujan lebat dengan keadaan laluan menuruni bukit yang sempit serta licin, menyebabkan tayar kiri lori dipercayai tergelincir ke bahu jalan.

“Lori itu hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan berpusing beberapa kali sebelum jatuh ke dalam gaung sedalam lima meter. Semua mangsa berjaya keluar dengan bantuan orang awam dan anggota bomba,” katanya.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

Johari turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati serta merancang perjalanan dengan baik terutama pada musim tengkujuh bagi mengurangkan risiko kemalangan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12685

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *