KLANG – Detik cemas lima pemancing yang hilang selepas bot dinaiki terbalik akibat cuaca buruk berakhir dengan kelegaan apabila mereka ditemui selamat di sebuah sangkar ikan berhampiran Pulau Ketam, semalam.
Kesemua mangsa lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 23 hingga 57 tahun ditemui kira-kira pukul 4.47 petang.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menerima laporan awal daripada ahli keluarga memaklumkan bot dan kelima-lima pemancing berkenaan gagal dihubungi.
“Komuniti maritim kemudian melaporkan penemuan sebuah bot fiber terbalik dipercayai dinaiki mangsa pada jarak 1.5 batu nautika barat daya Pulau Ketam pada pukul 12.50 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, dua aset Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi bagi melakukan pencarian awal selain menubuhkan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di jeti nelayan Kampung Telok Nipah, Pelabuhan Klang.
Kesemua mereka kemudian diselamatkan menggunakan bot Penggalang 31 sebelum tiba di PHC pada pukul 5.50 petang.
Menurut beliau, dua daripada mangsa mengalami kecederaan di kaki akibat disengat ikan.
“Siasatan mendapati mangsa berenang ke sangkar ikan untuk menyelamatkan diri selepas bot mereka terbalik akibat cuaca buruk.
“Mereka telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk tindakan lanjut. Operasi Carilamat ditamatkan pada pukul 6.30 petang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/25/bot-terbalik-lima-pemancing-terselamat-berenang-ke-sangkar-ikan/

Leave a Reply