PRN Sabah: 24,426 pengundi awal tunaikan tanggungjawab hari ini

KOTA KINABALU 25 Nov – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bermula pagi ini dengan seramai 24,426 pengundi awal melibatkan anggota keselamatan dan pasangan masing-masing dijadual menunaikan tanggungjawab mereka di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, 11,697 adalah anggota tentera bersama pasangan, manakala 12,729 lagi terdiri daripada anggota polis dan pasangan mereka.

Sebanyak 58 pusat pengundian awal dibuka serentak mulai jam 8 pagi di pelbagai lokasi termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, ibu pejabat polis daerah serta kem-kem tentera merentasi negeri.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca hari ini dijangka melibatkan hujan dan ribut petir di beberapa kawasan di seluruh Sabah, namun proses pengundian dijangka berjalan seperti biasa.

Seperti lazimnya, kertas undi yang dikeluarkan hari ini tidak akan dikira serta-merta, sebaliknya akan disimpan dengan selamat dan hanya dikira pada hari pengundian utama, iaitu 29 November ini.

Dengan berlangsungnya pengundian awal, tumpuan kini terarah kepada hari pengundian Sabtu ini, yang akan menentukan pembahagian 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PRN Sabah ke-17 menyaksikan 596 calon bertanding, termasuk 74 calon Bebas, selepas tempoh berkempen dibuka sejak 15 November lalu dan akan berakhir pada jam 11.59 malam Jumaat ini.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12705

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *