Lebih 5,000 guru pilih bersara awal sejak 2021, majoriti hilang minat teruskan kerjaya

KUALA LUMPUR 25 Nov – Trend persaraan awal dalam kalangan guru terus menjadi perhatian apabila lebih 5,000 warga pendidik memilih untuk menamatkan perkhidmatan lebih awal sejak 2021, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata seramai 5,293 guru diluluskan bersara awal secara pilihan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam tempoh 2021 hingga 2024, bersamaan 1.24 peratus daripada keseluruhan pengisian guru di KPM.

“Berdasarkan data KPM, sebanyak 67.44 peratus guru yang memohon persaraan awal menyatakan tidak lagi berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai sebab utama.

“Masalah keluarga mencatatkan 17.43 peratus, diikuti masalah kesihatan sebanyak 7.69 peratus, beban tugas 5.37 peratus dan masalah peribadi 2.07 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) berhubung punca guru memilih untuk bersara awal serta beban tugasan pengisian data dan pentadbiran.

Fadhlina menegaskan bahawa KPM sedang melaksanakan pelbagai langkah segera dan jangka panjang untuk memastikan sekolah tidak terjejas akibat kekurangan guru.

“Sehingga 22 September lalu seramai 10,045 orang guru baharu sudah ditempatkan di sekolah KPM.

“Terkini, KPM sedang melaksanakan penempatan guru baharu dari pasaran terbuka dan graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) seramai 10,096 orang yang akan ditempatkan pada November ini.

“Ia akan menjadikan jumlah guru yang sudah dan akan ditempatkan pada tahun ini seramai 20,141 orang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bagi memastikan pengisian guru lebih mampan pada masa depan, ambilan calon PISMP untuk 2025 dinaikkan kepada 11,000 orang, berbanding 6,300 calon pada 2024.

“Sinergi antara Kementerian turut dipertingkatkan. KPM bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menubuhkan Sekretariat Bersama pada Mac lalu bagi memperkukuh kerjasama strategik untuk mengakhiri masalah kekurangan guru.

“Dalam masa yang sama, pengambilan guru tetap dilaksanakan dua kali setahun, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) membuka permohonan sepanjang tahun bagi mempercepat proses pengambilan dan penempatan,” katanya.

KPM juga memperluas laluan ikhtisas seperti Program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) bagi menarik penyertaan individu daripada pelbagai latar belakang akademik.

“Pelbagai inisiatif pembangunan profesionalisme berterusan dilaksanakan, termasuk pemantapan pendidikan digital.

“Bagi mengurangkan beban tugas guru, KPM sudah melaksanakan 7 Langkah Segera Kesejahteraan Guru sejak 2023 yang memberi fokus kepada pedagogi, pentaksiran, pengoperasian sekolah, dan pengurusan pentadbiran,” katanya.

Menurutnya lagi, KPM sudah menghapuskan tugas bukan akademik tanpa punca kuasa sah melalui Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) selain memperkenalkan deskripsi tugas yang lebih jelas.

“Inisiatif MySTEP turut dilaksanakan bagi menempatkan Pembantu Guru di sekolah.

“KPM memanfaatkan teknologi melalui Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) dan Sistem Pengurusan Identiti (idMe) untuk mengurangkan pengisian data berulang.

“Pelantar DELIMa pula menyediakan aplikasi AI, bahan PdP digital, dan latihan kejurulatihan bagi menyokong guru secara lebih efektif dan kreatif,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12706

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *