‘Tiada kertas soalan SPM 2025 bocor, tapi KPM tetap siasat’ – Mohd Azam

PUTRAJAYA 25 Nov – Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius dakwaan kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bocor yang tular di media sosial, meskipun yakin insiden itu tidak berlaku setakat ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, walaupun pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi, pemantauan awal sudah dijalankan susulan dakwaan itu mendapat perhatian umum.

“Saya tak ada terima laporan secara rasmi lagi tapi kita ada melihat dakwaan itu di media sosial dan ia dalam tindakan pihak kami termasuk oleh Lembaga Peperiksaan.

“Buat masa sekarang kita percaya soalan SPM masih lagi terkawal dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas meninjau hari pertama SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11(1), di sini, hari ini.

Sebelum ini, beberapa tangkap layar tular di media sosial menunjukkan individu tertentu menawarkan soalan peperiksaan yang didakwa bocor dengan harga serendah RM499 setiap subjek, malah mendakwa memberi jaminan keputusan A atau bayaran dikembalikan.

Mengulas lanjut, Mohd Azam menegaskan bahawa Lembaga Peperiksaan memiliki prosedur jelas bagi menangani sebarang dakwaan berkaitan keselamatan soalan peperiksaan.

“Saya pasti mereka ada prosedur sebab saya sendiri pernah menjadi pengarah peperiksaan, jadi kita ada prosedur untuk menangani (dakwaan berkenaan),” katanya.

SPM 2025 bermula hari ini dengan seramai 413,372 calon menduduki peperiksaan tersebut.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12708

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *