KUALA LUMPUR 25 Nov – Seramai 2,681 mangsa membabitkan 736 keluarga diarahkan berpindah susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di Selangor sejak semalam, setakat jam 8 pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sebanyak 20 pusat pemindahan sementara (PPS) kini diaktifkan bagi menempatkan mangsa.
“JBPM Selangor menjalankan 175 operasi pemantauan membabitkan 48 anggota daripada 11 balai bomba.
“Lima daerah terjejas ialah Hulu Langat, Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Petaling,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 954 orang, diikuti SK Shah Alam Seksyen 16 (245 orang), Sekolah Rendah Agama (SRA) Seksyen 16 (256 orang) dan SK Sungai Binjai (188 orang).
PPS lain pula menempatkan antara 17 hingga 149 individu yang dipindahkan akibat banjir berikutan hujan berterusan sejak kelmarin.
Mukhlis berkata, operasi banjir masih diteruskan di beberapa lokasi termasuk Jalan Paip di Klang, Jalan Pekan Baru dan Jalan Rukun di Sabak Bernam serta Jalan Robinson di Ijok.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12711

Leave a Reply