Madrasah di Melaka didakwa dera pelajar, kerajaan negeri belum terima laporan rasmi

MELAKA 25 Nov – Kerajaan negeri belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung dakwaan sebuah madrasah di Melaka Tengah memukul dan mendera pelajar seperti yang tular di media sosial.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, walaupun sebelum ini terdapat beberapa kes serupa melibatkan madrasah swasta, namun sehingga kini tiada aduan baharu diterima melalui saluran rasmi.

Menurut beliau, maklumat yang tular hanyalah dakwaan daripada media sosial dan belum disahkan mana-mana pihak.

“Pegawai-pegawai institut pendidikan sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti sekolah yang dimaksudkan.

“Namun lebih baik aduan dibuat terus kepada pihak kami untuk membolehkan tindakan segera diambil,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Molek sempena Hari Pertama Peperiksaan Bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Selasa.

Rahmad, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang bekas pelajar yang mendedahkan berlakunya penderaan fizikal dan pengabaian kebajikan sepanjang tiga tahun belajar di madrasah terbabit.

Dakwa bekas pelajar itu, pemilik madrasah kerap mengasari pelajar dan melarang mereka menceritakan kejadian kepada ibu bapa atau pihak luar. Madrasah tersebut juga didakwa tidak memaklumkan ibu bapa jika pelajar jatuh sakit meskipun berada dalam keadaan serius.

Menurut Rahmad, kerajaan negeri serta Institut Pendidikan Islam Swasta (IPIS) sentiasa memantau dakwaan seperti itu namun tindakan hanya dapat diambil jika laporan rasmi dibuat.

“Memang ada beberapa kes sebelum ini melibatkan madrasah milik pihak swasta. Seruan saya kepada pelajar dan ibu bapa, terus buat aduan kepada kami… Insya-ALLAH kami akan tangani sebaiknya.

“Kita juga pernah menutup beberapa madrasah sebelum ini disebabkan kes seperti ini,” katanya.

Antara madrasah yang pernah dikenakan tindakan termasuk yang terletak di kawasan Paya Rumput dan Sungai Petai.

Dalam perkembangan berkaitan, Rahmad memaklumkan sebanyak 13,358 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM tahun ini di 100 pusat peperiksaan di seluruh Melaka, dengan peperiksaan bertulis berlangsung dari 25 November hingga 23 Disember.

Daripada jumlah itu, 11,371 merupakan calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan. Turut terlibat ialah 694 calon sekolah di bawah agensi kerajaan seperti MRSM, Henry Gurney dan Tunas Bakti; 21 calon sekolah agama negeri; 206 calon sekolah swasta berdaftar; serta 1,066 calon persendirian.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12713

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *