Bantuan kerajaan untuk individu 30 tahun ke atas diteruskan – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR 1 Dis – Pemberian bantuan kerajaan kepada individu berusia 30 tahun dan ke atas akan terus diteruskan meskipun had umur baharu keahlian pertubuhan belia ditetapkan antara 15 tahun hingga sebelum 30 tahun bermula 1 Januari tahun depan, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Hannah berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah membentangkan satu memorandum Jemaah Menteri pada 28 November lalu bagi penyelarasan sokongan dan bantuan kerajaan kepada golongan belia selepas penguatkuasaan penurunan had umur tersebut.

Langkah itu dibuat selepas Majlis Belia Malaysia memaklumkan bahawa masih terdapat individu berusia 30 tahun dan ke atas yang memerlukan intervensi dan sokongan kerajaan.

“Kabinet baru membincangkan dan meluluskan kertas ini. Antara langkah yang akan diambil adalah memastikan semua bantuan kerajaan kepada golongan berumur 30 tahun dan ke atas diteruskan, walaupun mereka tidak lagi dipanggil belia, sebaliknya anak muda.

“Sebagai contoh, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) mempunyai pelbagai geran yang dibuka kepada golongan muda 30 tahun dan ke atas. Mereka masih boleh memohon dana kerajaan untuk membantu perniagaan mereka.

“Dalam sektor pertanian pula, geran khas petani akan dikekalkan kerana kita tahu ramai anak muda kurang berminat bekerja di luar. Maka sokongan kepada petani muda akan diteruskan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Hannah berkata, pelbagai program lain melibatkan kementerian berbeza turut dikekalkan bagi memastikan golongan muda berusia 30 tahun dan ke atas terus menerima bantuan kerajaan.

Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai langkah peralihan bagi memastikan golongan berisiko dan rentan berumur 31 hingga 40 tahun tidak terlepas daripada sokongan kerajaan.

Pada November 2023, Hannah memaklumkan bahawa penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 akan bermula 2026, melibatkan penetapan had umur ahli pertubuhan belia antara 15 hingga sebelum 30 tahun, had umur ketua atau pemegang jawatan antara 18 hingga sebelum 30 tahun serta mengehadkan tempoh jawatan ketua pertubuhan belia kepada empat tahun.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12849

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *