KUALA LUMPUR 2 Dis – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kes kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia, Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu siasatan berkaitan jenayah membunuh.
Arahan itu dikeluarkan selepas AGC mendengar taklimat hasil laporan siasatan yang dibuka oleh pihak polis berhubung kematian mangsa.
Terdahulu, media melaporkan hasil penemuan forensik daripada bedah siasat kedua ke atas mayat Syamsul mengesahkan kecederaan leher traumatik sebagai punca kematiannya.
Peguam keluarga mangsa, Naran Singh, berkata laporan tersebut menunjukkan kecederaan berkenaan dialami ketika Syamsul masih hidup.
Menurut beliau, pemeriksaan bedah siasat kali kedua dijalankan bersama-sama analisis gambar serta bahan histopatologi daripada pemeriksaan bedah siasat pertama.
Sehubungan itu, beliau menggesa Peguam Negara supaya mengambil tindakan lanjut bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kecederaan tersebut serta membawa pelaku ke muka pengadilan.
Syamsul, 22, meninggal dunia semasa latihan Palapes di Ulu Tiram, Johor. Ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, berkata beliau dimaklumkan mengenai kematian anaknya pada 28 Julai lalu.
Pada 1 Ogos, Ummu menyatakan kepada sidang media bahawa beliau mengesyaki wujud unsur jenayah selepas melihat lebam dan mata berdarah pada mayat anaknya sebelum dikebumikan.
Susulan itu, beliau memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Ogos bagi mendapatkan perintah penggalian mayat, bedah siasat kedua serta inkues kematian, yang kemudiannya dibenarkan oleh Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet pada 26 Ogos lalu.
Mayat Syamsul digali semula tiga hari kemudian dan bedah siasat kedua dilakukan serta-merta.
Pada 26 Ogos, Unit Siasatan Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengesahkan telah mengambil alih keseluruhan siasatan kes berkenaan.
Seterusnya, pada 18 September, Dusuki Mokhtar selaku Peguam Negara berkata sebarang keputusan sama ada inkues akan diadakan hanya akan dibuat selepas pihaknya menerima laporan penuh siasatan daripada polis, termasuk laporan bedah siasat kedua yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.
Pada 30 Oktober, Ummu sekali lagi memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad serta empat pihak lain bagi mendapatkan salinan laporan bedah siasat pertama.
Dalam perkembangan terbaharu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M. Kumar dalam satu kenyataan petang ini berkata siasatan kes berkenaan akan diteruskan bagi mengenal pasti individu yang terlibat atau bertanggungjawab, sebelum kertas siasatan dirujuk semula kepada AGC untuk arahan lanjut mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
“Masyarakat diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sementara pihak polis melengkapkan siasatan dan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12885

Leave a Reply