DAP Sabah tidak ambil sebarang jawatan dalam kerajaan negeri

KUALA LUMPUR 2 Dis – DAP Sabah memutuskan untuk tidak mengambil sebarang jawatan dalam Kerajaan Negeri Sabah, termasuk jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, walaupun tanpa jawatan rasmi, barisan kepimpinan DAP Sabah akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat dan berusaha mengembalikan keyakinan pengundi.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas DAP mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) malam tadi bagi membincangkan keputusan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.

“Kami telah menerima isyarat yang jelas daripada pengundi. Tidak dapat dinafikan bahawa pilihan raya kali ini menunjukkan krisis keyakinan yang serius terhadap DAP dan Pakatan Harapan.

“Pemimpin dan anggota yang terlibat dalam kempen sedar wujud ketidakpuasan yang meluas di kalangan rakyat sepanjang tempoh berkempen,” katanya dalam kenyataan itu.

Anthony menambah bahawa DAP akan mengumpul semua maklum balas yang diterima selain bekerja bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempercepat agenda reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang.

Dalam PRN-17 Sabah pada Sabtu lalu, DAP tewas di semua lapan kerusi yang ditandingi, sekali gus mencatatkan prestasi terburuk parti itu apabila buat pertama kali sejak 2004 tidak mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri Sabah.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12865

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *