Tengku Zafrul dilantik Pengerusi MIDA bagi tempoh dua tahun

KUALA LUMPUR 3 Dis – Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz Tengku Zafrul dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkuat kuasa hari ini bagi tempoh dua tahun.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut kenyataan itu, selain menerajui MIDA, Tengku Zafrul turut akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang kini dalam peringkat penelitian sebelum diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri.

Tengku Zafrul sebelum ini menyandang jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, namun menamatkan perkhidmatan dalam Kabinet susulan tempoh sebagai Senator yang berakhir semalam.

Terdahulu, beliau memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri berhubung kesediaannya untuk terus menyumbang kepada pentadbiran kerajaan dalam apa jua kapasiti meskipun tidak lagi memegang jawatan dalam Kabinet.

Pelantikan itu dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan kesinambungan hala tuju pelaburan negara, khususnya dalam menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi dan berimpak besar kepada pertumbuhan ekonomi serta peluang pekerjaan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12899

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *