PUTRAJAYA 3 Dis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil menafikan sebarang dakwaan berlaku salah laku melibatkan pegawainya semasa operasi serbuan dan penahanan terhadap ahli perniagaan, Albert Tei, baru-baru ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya memiliki pelbagai rakaman visual termasuk video yang dirakam oleh anggota yang bertugas serta rakaman kamera badan sebagai bukti bagi menafikan tuduhan tersebut.
Beliau berkata, semua bukti diperoleh secara sah mengikut undang-undang dan akan dikemukakan sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah.
“Pegawai kami dilengkapi pelbagai alat rakaman dan semuanya direkodkan. Kami turut memiliki rakaman litar tertutup (CCTV) dari rumah (Albert Tei) berkenaan dan ia juga sudah diserahkan kepada polis.
“Rakaman ini akan menolak semua dakwaan (tidak berasas) yang dibuat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12895

Leave a Reply