KOTA KINABALU 4 Dis – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kini dilaporkan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di sini susulan nasihat perubatan agar beliau berehat dan mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut sumber, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah sebelum ini telah mendapatkan pemeriksaan kesihatan semasa kempen pilihan raya dan kini dimasukkan ke hospital untuk rawatan susulan.
“Beliau sebelum ini, semasa kempen pilihan raya, sudah membuat pemeriksaan di hospital tetapi kini sedang menerima rawatan dan diminta diberi ruang untuk berehat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum itu, akaun Facebook BN Comms Sabah dalam satu hantaran menzahirkan doa agar beliau dikurniakan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan.
Hantaran yang dimuat naik kira-kira tiga jam lalu itu turut menerima pelbagai reaksi daripada warga maya yang sama-sama mendoakan kesihatan beliau.
“Semoga YB Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan. Amin,” menurut hantaran tersebut.
Sementara itu, usaha Sinar Harian mendapatkan maklumat lanjut daripada Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin masih belum berhasil setakat ini.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12915

Leave a Reply