PUTRAJAYA 4 Dis – Seorang wanita warga Malaysia berusia 64 tahun masih belum ditemui susulan kejadian banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara sejak 27 November lalu.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata usaha mengesan mangsa sedang giat diteruskan menerusi kerjasama rapat antara Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, pihak berkuasa tempatan serta rangkaian komuniti setempat.
Rakyat Malaysia yang mempunyai maklumat bagi membantu pencarian diminta segera menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan.
Dalam perkembangan berasingan, tiga rakyat Malaysia berusia antara 63 hingga 64 tahun yang sebelum ini gagal dihubungi sejak 27 November telah berjaya dikesan. Mereka dibawa keluar dari kawasan yang terputus hubungan akibat banjir dan diterbangkan oleh Tentera Udara Indonesia dari Lapangan Terbang Rembele, Takengon ke Medan.
“Mereka tiba di Lapangan Terbang Kualanamu pada petang semalam. Konsulat Jeneral sedang mengatur kepulangan mereka ke Malaysia secepat mungkin,” katanya.
Menurut Wisma Putra, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan wanita Malaysia yang hilang dalam kejadian tanah runtuh di Padang Panjang kini memasuki hari ketujuh.
“Usaha mencari diteruskan di kawasan tebing sungai dan zon tanah runtuh berhampiran Jambatan Kembar. Konsulat Jeneral bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia serta memberikan bantuan kepada keluarga mangsa yang berada di lokasi bagi urusan pengecaman dan pengesahan,” jelas kenyataan itu.
Kementerian turut memaklumkan bahawa situasi banjir dan tanah runtuh masih dipantau, dengan operasi SAR serta kerja-kerja pemulihan diteruskan.
“Pihak berkuasa Indonesia telah membuka semula beberapa laluan darat di pedalaman, membolehkan penghantaran bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas dilakukan secara lebih teratur. Usaha membaik pulih jalan utama juga giat dijalankan dengan sasaran memulihkan laluan penting menjelang pertengahan Disember,” kata kementerian.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12914

Leave a Reply