SAR remaja hanyut di Kajang masuk hari ketiga, operasi diperluas 10 kilometer

KAJANG 6 Dis – Usaha mencari seorang remaja lelaki yang hilang selepas dihanyutkan arus ketika cuba mengambil bola dalam longkang besar di Taman Prima Saujana memasuki hari ketiga dengan operasi diperluas sehingga 10 kilometer, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, operasi bermula jam 9.30 pagi bagi mengesan mangsa berusia 14 tahun yang masih belum ditemui sejak kejadian dua hari lalu.

Beliau berkata, pencarian hari ini dipecahkan kepada dua zon merangkumi laluan dari lokasi kejadian sehingga ke Jalan Mendaling dan seterusnya menuju Jalan Reko.

“Kekuatan agensi yang digunakan lebih kurang 65 pegawai terdiri daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dibantu dua anjing pengesan (K9) bomba dan APM.

“Turut bersama Team Skuba Bomba, Unit Dron APM serta dua bot whally bagi menyusuri Sungai Langat ke arah Dengkil,” katanya dalam satu kenyataan.

Kejadian pada kelmarin melibatkan dua beradik lelaki berusia 12 dan 14 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang besar sebelum dihanyutkan arus deras.

Mangsa berusia 12 tahun ditemukan pada jam 7.47 malam kelmarin di Sungai Merbau, Kampung Sungai Kantan, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12945

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *