Pembebasan Syed Saddiq: Mahkamah tunggu pendirian pendakwaan

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengarahkan pihak-pihak dalam rayuan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya ‘meneliti semula dan mempertimbangkan kembali’ rayuan pendakwaan bagi mencabar pembebasan Ahli Parlimen Muar itu.

Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais yang mengetuai panel tiga hakim mencadangkan pihak pendakwaan berbincang bagi mencapai kata sepakat sama ada rayuan tersebut wajar diteruskan.

“Jika pendakwaan berpendirian anda masih boleh membuktikan kes dengan segala cara, berpegang kepadanya, tetapi jika selepas menyemak kes, anda merasakan tidak mahu mengekalkan rayuan, maka anda harus memaklumkan kepada kami.

“Kami tidak membuat sebarang keputusan buat masa ini. Pihak-pihak mesti memberitahu kami dalam masa seminggu. Jika tiada petunjuk, kami akan menyampaikan keputusan,” katanya.

Hakim Abu Bakar berkata, ketiga-tiga hakim yang menganggotai panel itu akan menulis alasan penghakiman sama ada rayuan dibenarkan atau ditolak. Beliau turut mengarahkan pendakwaan memfailkan penghujahan bertulis tambahan dalam masa seminggu diikuti hujahan tambahan dibalas seminggu kemudian.

Dua lagi hakim itu yang turut bersidang ialah Datuk Che Mohd. Ruzima Razali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq, 33, selaku responden diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral di sini 6 Mac 2020.

Syed Saddiq turut didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya antara 8 hingga 21 April 2018.

Syed Saddiq juga berdepan dua tuduhan memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Sebelum ini, pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan tersebut pada 25 Jun lalu.

Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan atas empat tuduhan selepas mahkamah membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/12/pembebasan-syed-saddiq-mahkamah-tunggu-pendirian-pendakwaan/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *