BANGKOK – Skuad bawah 23 (B-23) negara enggan pulang ke tanah air dengan tangan kosong sekali gus berharap mampu mencipta kemenangan ke atas Filipina dalam perebutan pingat gangsa Sukan SEA 2025 esok.
Skuad kendalian Nafuzi Zain itu gagal ke final selepas tewas tipis 0-1 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir di Stadium Nasional Rajamangala kelmarin sekali gus terlepas merebut ‘ibu pingat emas’ edisi ke-33 ini.
Kapten negara, Ubaidullah Shamsul Fazili berharap rakan sepasukan dapat memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan kepercayaan berada dalam kesebelasan utama berdepan Filipina.
“Gangsa pilihan terakhir kita. Memang kena berikan sehabis baik, tak ada pilihan lain. Walaupun dengan keadaan beberapa kecederaan, siapa yang ada kena berikan aksi terbaik di atas padang.
“Filipina bukan biasa-biasa, mereka ada pemain-pemain yang berkualiti termasuk pemain warisan dibawa kali ini. Saya dapat rasa mereka adalah lawan yang kuat,” kata Ubaidullah.
Mengulas kekalahan 0-1 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir kelmarin, Ubaidullah berkata, pasukan telah beraksi dengan baik biarpun dengan 10 pemain hampir 80 minit.
“Pada masa depan masih lagi ada peluang untuk baiki kelemahan-kelemahan ini. Saya berpuas hati walaupun keputusan tidak menyebelahi kita, tetapi kita akan cuba yang terbaik untuk pingat gangsa,” katanya.
Dalam masa sama, tonggak Terengganu FC itu mengakui skuad kali ini berdepan kesukaran sejak awal latihan selepas ada pemain yang tidak mendapat pelepasan daripada kelab.
“Kita anggap itu mungkin ujian untuk perkara yang lebih baik. Saya sendiri tidak tahu akan balik atau tidak lawan Imigresen (aksi Liga Super) pada 19 Disember ini. Saya harap dapat kekal di sini dan nikmati saat akhir Sukan SEA bersama kawan-kawan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/17/sukan-sea-gangsa-pilihan-terakhir-malaysia/

Leave a Reply