Ibu Dr Zaliha Mustafa meninggal dunia

KUALA LUMPUR 20 Dis – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, kehilangan ibu tercinta apabila Halimah Yaacob meninggal dunia malam ini pada usia 77 tahun.

Arwah menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.23 malam di kediaman Dr Zaliha di Putrajaya.

Jenazah akan diuruskan di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kulai, Johor bagi urusan pengebumian.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Dr Zaliha menyifatkan pemergian ibunya sebagai satu kehilangan besar dan amat menyedihkan buat dirinya serta seluruh ahli keluarga.

“Hari duka buat kami sekeluarga. Mak telah pergi buat selama-lamanya pada jam 8.23 malam tadi. Tiada lagi gurau senda dan doa Mak. Tiada kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini,” katanya.

Beliau turut memohon orang ramai mendoakan agar roh ibunya dicucuri rahmat oleh Allah SWT, diampunkan segala dosa serta diterima segala amal kebaikan arwah.

“Saya mohon doa daripada semua agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Mak, mengampunkan segala dosanya, menerima segala amal kebaikannya dan menempatkan Mak dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

Dr Zaliha juga berharap beliau dan ahli keluarga dikurniakan ketenangan serta kekuatan untuk menghadapi detik sukar berikutan pemergian insan tersayang itu.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13214

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *