Budak perempuan dua tahun maut digilis kereta mengundur dipandu bapa di Tangkak

TANGKAK 20 Dis – Tragedi menyayat hati berlaku di Taman Kesang Baru, Parit Bunga, apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas parah dilanggar kereta yang dipandu bapanya sendiri ketika mengundurkan kenderaan, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, namun disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 malam hari yang sama selepas hampir 12 jam bertarung nyawa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Jamellulkamal Abdul Halim, berkata siasatan awal mendapati pemandu yang juga bapa mangsa berusia lingkungan 30-an sedang mengalihkan kenderaan dengan cara berundur.

Menurutnya, bapa mangsa merasakan seolah-olah terlanggar sesuatu di bahagian belakang kenderaan sebelum memberhentikan kereta.

“Kanak-kanak itu dipercayai secara tiba-tiba keluar dari rumah dan berada di belakang kereta tanpa disedari bapanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Jamellulkamal berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Azmi Ibrahim di talian 011-12445836 bagi membantu melengkapkan siasatan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13212

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *