KUALA LUMPUR 20 Dis – Polis membongkar makmal haram pemprosesan dadah jenis ketamin serta menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis kokain dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) di sekitar Lembah Klang dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.53 bilion, antara yang terbesar tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kejayaan itu hasil beberapa serbuan yang dijalankan pada 16 Disember lalu berdasarkan maklumat risikan.
Beliau berkata, operasi itu membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing berusia antara 24 hingga 39 tahun di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.
“Serbuan pertama dijalankan di kawasan Cheras, Kuala Lumpur dan berjaya menahan tiga lelaki tempatan serta tiga wanita warga asing.
“Pemeriksaan lanjut di sebuah rumah menemui enam botol cecair disyaki mengandungi dadah jenis MDMA dengan anggaran berat tiga kilogram (kg),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
Beliau berkata, serbuan kedua di Taman Taynton View, Cheras membawa kepada rampasan serbuk putih disyaki dadah jenis kokain seberat 738kg serta cecair disyaki kokain dengan anggaran berat 3,303kg, selain pelbagai peralatan memproses dadah.
Katanya, serbuan ketiga di sebuah premis di kawasan Perindustrian Sungai Chua, Kajang, Selangor pula menemui serbuk putih disyaki ketamin seberat 3,024kg serta cecair disyaki ketamin dengan anggaran berat 10,067kg bersama peralatan memproses dadah.
“Serbuan keempat di sebuah premis di Taman Industri Mega, Bandar Technology, Kajang berjaya merampas 28 guni berwarna putih mengandungi 1,400 bungkusan plastik kuning berisi serbuk putih disyaki ketamin dengan anggaran berat 1,402kg,” katanya.
Hussein berkata, jumlah keseluruhan rampasan bahan terlarang itu 18,537kg masing-masing membabitkan MDMA seberat 3kg, kokain (4,041kg) dan ketamin (14,493kg) dianggarkan bernilai RM1.53 bilion serta mampu merosakkan 68.5 juta pengguna.
Katanya, siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan rumah banglo tiga tingkat sebagai makmal haram memproses dadah serta premis perniagaan sebagai stor simpanan dadah.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak April lalu dengan memfokuskan pasaran antarabangsa terutama di negara timur.
Siasatan awal mendapati, sindiket ini sudah beberapa kali menyeludup dadah dihasilkan ke negara sasaran.
“Makmal dadah yang dibongkar kali ini adalah makmal terbesar pernah diserbu pihak polis setakat ini,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama positif ketamin, manakala suspek keempat dan keenam positif methamphetamine serta ketamin.
“Semua suspek direman tujuh hari bermula 17 Disember lalu dan semakan rekod mendapati hanya suspek pertama mempunyai satu rekod kes dadah di bawah Seksyen 39B akta sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
“Tindakan sitaan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai keseluruhan sitaan RM389,000 termasuk tiga kereta, dua forklift dan sebuah lori,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13211

Leave a Reply