Lelaki hunus pisau serang stesen metro, 4 maut di Taipei

TAIPEI 20 Dis – Sekurang-kurangnya empat individu dilaporkan maut manakala lima lagi cedera dalam satu serangan pisau yang turut melibatkan penggunaan bom asap di bandar Taipei, wilayah Taiwan, China pada Jumaat.

Menurut laporan media tempatan, suspek serangan turut disahkan antara mereka yang terkorban dalam kejadian berkenaan.

Serangan itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.30 petang waktu tempatan. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek yang memakai topeng gas telah membaling beberapa bom asap di Stesen Utama Metro Taipei, menyebabkan kepulan asap tebal dan seorang orang awam mengalami sesak nafas akibat terhidu asap.

Suspek kemudiannya menyerang seorang individu di lokasi berkenaan yang disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah, menurut pihak hospital.

Selepas itu, suspek melarikan diri ke kawasan perniagaan sibuk berhampiran Stesen Metro Zhongshan dan menyerang beberapa orang awam lain. Seramai enam mangsa dilaporkan cedera, dengan dua daripada mereka kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Media tempatan melaporkan suspek dikenal pasti sebagai lelaki berusia 27 tahun. Ketika dikepung polis di sebuah pusat beli-belah, suspek dipercayai terjatuh dari bangunan berkenaan dan meninggal dunia.

Motif serangan masih dalam siasatan pihak berkuasa. – Agensi

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13210

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *