Wanita, anak angkat maut terbakar, polis tahan anak lelaki

BUTTERWORTH 19 Dis – Polis menahan seorang lelaki berusia 20-an bagi membantu siasatan kejadian kebakaran yang mengorbankan seorang wanita dan anak angkatnya di Taman Rathna, Telok Air Tawar, pada 10 Disember lalu, yang dipercayai mempunyai unsur jenayah.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata suspek yang juga anak kepada wanita terbabit direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 Disember bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati kebakaran yang mengorbankan dua mangsa itu mempunyai unsur jenayah. Susulan itu, polis menahan lelaki berkenaan yang mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, suspek kini masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Datuk Azizee memaklumkan, mayat kedua-dua mangsa masih ditempatkan di Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) dan belum boleh dituntut ahli keluarga kerana menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi tujuan pengesahan rasmi.

Dalam kejadian berkenaan, wanita dikenali sebagai Hayani Yaakob, berusia lingkungan 50-an, dan anak angkat perempuannya, Andra, lima tahun, maut selepas terperangkap dan rentung di dalam rumah. Anak lelaki mangsa pula cedera selepas dihempap struktur bumbung yang runtuh.

Media sebelum ini melaporkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.41 pagi, dengan mayat kedua-dua mangsa ditemui di ruang tamu berhampiran pintu utama, manakala anak lelaki mangsa ditemui di kawasan pintu dapur sebelum dikejarkan ke HSJ untuk rawatan lanjut.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13207

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *