‘Gender reveal’ depan Kaabah, suami Neera Azizi digantung tugas

PETALING JAYA – Dikenakan tindakan tegas, suami kepada penyampai radio, Neera Azizi, Muhammad Hafizi Mohd. Noor, digantung daripada tugas berikutan penularan video sambutan ‘gender reveal’ di hadapan Kaabah, baru-baru ini.

Pengurusan agensi umrah, In Saff Travel & Tours Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan menjelaskan mereka memandang serius isu itu selain menjalankan siasatan menyeluruh sebelum mengerjakan tindakan tersebut.

“Hasil siasatan mendapati wujud pelanggaran terhadap etika dan Standard Operating Procedure (SOP) syarikat yang telah ditetapkan bagi setiap petugas.

“Susulan pelanggaran tersebut, pihak agensi mengambil tindakan tatatertib terhadap Hafizi.

Dalam kenyataan sama, syarikat memaklumkan mutawif terbabit tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang tugasan operasi atau membimbing jemaah ke tanah suci.

“Pihak In Saff Travel menegaskan sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan kesucian ibadah di Tanah Suci, etika, serta imej syarikat tidak akan dikompromi sama sekali,” katanya.

Terdahulu, video pasangan itu mengumumkan jantina bayi mereka di hadapan Kaabah mencetuskan komen negatif netizen yang menyifatkan tindakan dibuat tidak menghormati tempat suci umat Islam.

Susulan kecaman, Neera memadam video tersebut di semua platform media sosial selain meminta maaf atas kekhilafan mereka. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/gender-reveal-depan-kaabah-suami-neera-azizi-digantung-tugas/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *