‘Mungkin dah tiba masa UMNO nilai semula kerjasama dengan kerajaan Perpaduan’ – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR 22 Dis – UMNO disaran supaya menilai semula hubungan kerjasama politiknya dalam Kerajaan Perpaduan susulan kenyataan seorang pemimpin DAP yang didakwa keterlaluan dan menyinggung perasaan ahli serta penyokong parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata gesaan itu dibuat susulan hantaran Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin, yang dikaitkan dengan keputusan mahkamah membabitkan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

“Kenyataan Yeo Bee Yin yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP ini adalah amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusiaan.

“Jika tidak mampu untuk menzahirkan sekelumit perasaan simpati sekali pun, janganlah mengeluarkan kenyataan kurang ajar dan menyakitkan hati.

“Apatah lagi yang dihina adalah bekas pemimpin tertinggi yang amat disayangi oleh seluruh keluarga besar UMNO yang hari ini membantu membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk UMNO memperhalusi kembali kerjasama yang terjalin jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan UMNO selama ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong memuat naik hantaran berbunyi ‘Another reason to celebrate this year end’ (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini) dengan berkongsi pautan berita sebuah portal bertajuk ‘No house arrest for Najib’ (tiada tahanan rumah untuk Najib).

Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, memutuskan bahawa Titah Adendum berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, turut menyuarakan pendirian sama apabila mengecam kenyataan Bee Yin yang disifatkannya sebagai tidak beradab.

“Kalau tiada benda baik hendak dikata, lebih baik diam. Ini bukan masa untuk jadi kurang ajar,” katanya yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13239

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *