Chegubard akan serah bukti dakwaan rasuah pegawai kanan tentera kepada SPRM

KUALA LUMPUR 23 Dis – Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) mengesahkan beliau akan hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok untuk menyerahkan maklumat berhubung dakwaan rasuah membabitkan seorang pegawai kanan tentera.

Langkah itu susulan permintaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, agar Chegubard tampil mengemukakan bukti berkaitan dakwaan aliran masuk tunai berskala besar ke akaun pegawai terbabit.

Dalam kenyataannya hari ini, Chegubard berkata beliau akan menyerahkan maklumat yang pernah didedahkan kepada media sebelum ini, serta beberapa maklumat tambahan berkaitan kes rasuah berprofil tinggi.

“Saya berharap kehadiran saya dapat disambut secara profesional dan tertib. Saya juga memohon peluang untuk bertemu secara langsung dengan Tan Sri Azam Baki bagi memberikan penjelasan menyeluruh mengenai maklumat penting ini,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, semasa sidang media di luar IPD Dang Wangi, Chegubard memaklumkan bahawa audit forensik ke atas dokumen diterimanya mendedahkan deposit bulanan antara RM50,000 hingga RM60,000, dengan beberapa pemindahan wang bernilai ratusan ribu ringgit ke akaun pegawai tersebut.

Beliau juga mendakwa dana itu berpunca daripada akaun syarikat yang memperoleh projek berkaitan tentera, sekali gus menjadikan kes ini antara isu rasuah berprofil tinggi yang menjadi tumpuan pihak berkuasa.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13261

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *