PETALING JAYA 23 Dis – Aliran trafik di lebuh raya bertol seluruh negara pagi ini dilaporkan masih terkawal dan bergerak lancar, walaupun berlaku peningkatan kenderaan di beberapa laluan susulan musim cuti sekolah dan sambutan Krismas.
Menurut Pusat Pengurusan Trafik, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), setakat pukul 10.08 pagi, cuaca di kebanyakan kawasan adalah baik, sekali gus membantu kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya pada hari pertama pengurangan tol sebanyak 50 peratus untuk kenderaan persendirian.
Bagaimanapun, trafik perlahan dilaporkan di beberapa lokasi utama:
Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah utara dari Shah Alam ke Subang.
Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara selepas Plaza Tol Sungai Besi menuju pusat bandar, manakala arah selatan dari Hospital Sungai Buloh ke Bukit Lanjan, Sedenak ke Kulai dan Kempas ke Dato’ Onn, Johor.
Tambak Johor kedua-dua arah dari CIQ Woodlands ke CIQ Sultan Iskandar.
Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dari jambatan ke CIQ Sultan Abu Bakar dan pertengahan jambatan menuju CIQ Tuas.
Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) arah timur dari Bukit Rimau ke Hicom dan susur masuk Persimpangan Kewajipan, manakala arah barat dari Kinrara ke susur Puchong Jaya.
Beberapa lebuh raya utama lain seperti LDP, Elite, Cheras-Kajang (Grandsaga), SILK, dan SPRINT turut mengalami aliran trafik perlahan di beberapa seksyen.
Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, memaklumkan kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus selama dua hari, iaitu 23 dan 24 Disember, bersempena sambutan Hari Krismas.
“Diskaun tol diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol, kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara seperti Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Lebuhraya Utara-Selatan) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura).
“Kerajaan menanggung implikasi kewangan dianggarkan RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat dengan pemberian diskaun tol sempena perayaan Hari Krismas 2025 ini,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13259

Leave a Reply