MAIJ selamatkan enam beranak termasuk bayi tinggal dalam kereta selepas dihalau keluar rumah sewa

JOHOR 23 Dis – Keprihatinan masyarakat membuahkan hasil apabila sebuah keluarga enam beranak, termasuk seorang bayi berusia 12 bulan, berjaya diselamatkan selepas terpaksa tinggal di dalam kereta selama tiga hari akibat kehilangan tempat tinggal.

Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menyelamatkan keluarga berkenaan yang terpaksa menetap dalam kenderaan selepas diminta keluar dari rumah sewa mereka di Kampung Ubi, Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pasangan suami isteri berusia lingkungan 30-an itu bersama empat cahaya mata berusia antara 12 bulan hingga 14 tahun ditemukan berhenti di bawah sebuah jambatan di perkampungan sama sebelum diselamatkan.

Menurutnya, maklumat mengenai keadaan keluarga itu diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah.

Susulan itu, MAINJ Daerah Johor Bahru diarahkan untuk bertindak segera bagi menyalurkan bantuan kecemasan kepada keluarga terbabit.

“Amin Baitulmal Johor Bahru akhirnya menemukan keluarga berkenaan semalam dan memujuk mereka berpindah ke tempat yang lebih selamat dan selesa.

“Ketua keluarga berkenaan yang berasal dari Batu Pahat masih bekerja di sebuah syarikat di Senai manakala isterinya berasal dari Kedah adalah suri rumah.

“Rupa-rupanya masih ada dalam kalangan kita yang diuji dengan rintangan dan kepayahan, kitalah yang wajib membantu mereka.

“Malam tadi, keluarga itu ditempatkan terlebih dahulu di sebuah penginapan sementara sebelum dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana 1 atau Tiram pada Selasa,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, penempatan itu diusahakan hasil kerjasama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Menurutnya, dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Pembangunan Masyarakat Johor, Khairin Nisa Ismail akan memantau kebajikan keluarga berkenaan.

Difahamkan, seorang anak pasangan itu dilaporkan sebagai orang kurang upaya (OKU) yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“MAIJ akan membuat semakan lanjut terhadap keperluan keluarga itu sebelum menyalurkan bantuan zakat yang bersesuaian.

“Jangan biarkan keluarga dan jiran tetangga kita berada dalam kesusahan tanpa bantuan, kita seharusnya peka dengan kehadiran mereka yang bernasib kurang baik,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13257

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *