KUALA LUMPUR 26 Dis – Selepas tujuh tahun melalui proses perbicaraan, hari ini menjadi penentu nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Mahkamah Tinggi dijadualkan memutuskan sama ada Najib yang juga Menteri Kewangan ketika kejadian dibebaskan atau disabitkan bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) menetapkan tarikh keputusan itu pada prosiding hujahan akhir pembelaan yang berlangsung di Istana Kehakiman pada 31 Oktober lalu, dengan keputusan dijangka dibacakan sekitar jam 9 pagi ini.
Sekiranya mahkamah mendapati pihak pembelaan yang diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, Najib akan dibebaskan serta-merta, namun pendakwaan masih boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, jika sebaliknya, Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan akan disabitkan dan dijatuhkan hukuman, dengan hak untuk merayu keputusan tersebut.
Pembelaan menutup kes pada 6 Mei lalu selepas memanggil 26 saksi pembelaan sepanjang 58 hari perbicaraan. Secara keseluruhan, perbicaraan kes berprofil tinggi itu mengambil masa 293 hari, melibatkan 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan.
Najib didakwa pada 20 September 2018, dengan perbicaraan pendakwaan bermula pada 28 Ogos 2019 dan berakhir pada 30 Mei 2024, membabitkan 235 hari perbicaraan. Pada 30 Oktober 2024, mahkamah memerintahkan beliau membela diri, dengan prosiding bela diri berlangsung dari 2 Disember 2024 hingga 6 Mei 2025.
Beliau berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jika sabit kesalahan, Najib boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, beliau didakwa melakukan kesalahan di bank sama antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta AMLATFA, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Hukuman penjara beliau telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta selepas Lembaga Pengampunan membuat keputusan pada Januari lalu.
Isnin lalu, Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan semakan kehakiman Najib bagi melaksanakan Titah Adendum untuk menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan Titah Adendum itu didapati tidak sah serta tidak boleh dilaksanakan.
Kes 1MDB RM2.3 bilion ini merupakan kes jenayah terakhir yang masih di peringkat perbicaraan melibatkan Najib, 72.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13313

Leave a Reply