KUALA LUMPUR 26 Dis – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan bahawa usaha menjaga kebersihan bandar merupakan tanggungjawab bersama dan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata, sikap segelintir individu yang masih membuang sampah merata-rata, khususnya di kawasan pusat bandar dan lokasi tumpuan awam, dipandang serius serta amat dikesali kerana mencemarkan imej negara.
“Malaysia sedang melangkah ke arah negara maju dan bersedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, namun sikap tidak bertanggungjawab seperti ini mencemarkan imej bandar raya serta nama negara pada mata masyarakat dan pelancong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nga, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta PBT sentiasa komited melaksanakan kerja pembersihan dan penguatkuasaan secara berterusan, namun kejayaan usaha tersebut memerlukan kesedaran serta kerjasama orang ramai.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap individu yang membuang sampah di tempat awam bermula 1 Januari depan, termasuk denda sehingga RM2,000.
“Selain denda, hukuman tambahan iaitu Perintah Khidmat Masyarakat maksimum 12 jam dalam tempoh enam bulan juga akan dikenakan,” katanya sambil menegaskan pendekatan itu bertujuan mendidik masyarakat agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran.
Nga turut menyeru orang ramai supaya menghormati ruang awam ketika menyambut sebarang perayaan atau menjalankan aktiviti dengan membuang sampah ke dalam tong yang disediakan serta mematuhi undang-undang demi memastikan bandar sentiasa bersih, teratur dan selesa.
“Bandar yang bersih mencerminkan masyarakat yang berbudaya tinggi. Marilah kita bersama-sama menyokong usaha SWCorp dan PBT dalam menjadikan bandar kita lebih bersih, lestari dan berdaya huni untuk generasi akan datang,” katanya.
Terdahulu, Nga menerusi hantaran di platform X menegur sikap segelintir rakyat Malaysia susulan penularan gambar kawasan pusat bandar termasuk Bukit Bintang yang dipenuhi sampah sarap semasa sambutan malam Krismas, semalam.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13310

Leave a Reply