Pemuda UMNO anjur konvensyen khas bincang hala tuju parti dalam Kerajaan Perpaduan

MELAKA 28 Dis – Pemuda UMNO akan menganjurkan satu konvensyen khas bagi membincangkan, meneliti dan membuat keputusan berhubung hala tuju parti, khususnya berkaitan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, awal bulan depan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, konvensyen bertajuk Hala Tuju UMNO: Kekal atau keluar daripada Kerajaan Perpaduan itu dijadualkan berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 3 Januari ini.

Menurutnya, penganjuran konvensyen berkenaan susulan kegagalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin memohon maaf seperti dituntut oleh Pemuda UMNO Selangor dalam tempoh 24 jam, sekali gus mencetuskan kekecewaan dalam kalangan akar umbi parti.

“Sehingga hari ini tiada sebarang permohonan maaf dibuat. Justeru, saya merakamkan penghargaan kepada Pemuda UMNO Selangor dan UMNO Bahagian Puchong yang berani mengambil pendirian dengan memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, UMNO Bahagian Puchong mengumumkan secara rasmi keputusan memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan PH di kawasan berkenaan, berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha UMNO Bahagian Puchong, Mohamad Yusof Mohamed Yassin dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat susulan kegagalan Bee Yin, yang juga Setiausaha Publisiti DAP, memohon maaf dalam tempoh 24 jam yang berakhir pada 24 Disember lalu berhubung kenyataannya berkaitan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Bee Yin sebelum ini dikritik kerana memuat naik hantaran berbunyi ‘Another reason to celebrate this year end’ bersama pautan berita bertajuk ‘No house arrest for Najib’, beberapa jam selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung pelaksanaan Titah Adendum bagi menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Dr Muhamad Akmal berkata, beliau menggesa semua ahli UMNO supaya hadir ke konvensyen berkenaan bagi menyuarakan pandangan dan isi hati mereka secara terbuka serta berani.

Menurutnya, pendirian yang dibawa Pemuda UMNO bukan bersifat pandangan peribadi, sebaliknya mencerminkan sentimen sebenar akar umbi yang masih setia kepada perjuangan parti.

Katanya, hasil perbincangan dan resolusi yang dicapai pada konvensyen itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum diserahkan secara rasmi kepada Presiden parti.

“Saya menggesa seluruh kepimpinan dan ahli UMNO, sama ada yang memegang jawatan atau tidak, supaya hadir bagi mendengar dan memahami suara akar umbi dalam menentukan masa depan parti,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13344

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *