KUALA LUMPUR 29 Dis – Perselisihan faham berkaitan isu nafkah dipercayai mencetuskan insiden menyayat hati apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun cedera selepas ditolak bapanya sendiri dalam kejadian di Taman Scientex Kundang Jaya, Kundang.
Kejadian berkenaan mencuri perhatian orang ramai selepas rakaman insiden tersebut tular di media sosial, sebelum polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.33 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 11.47 malam kelmarin.
Menurut beliau, insiden itu berlaku ketika seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun menghantar anaknya ke rumah bekas isteri.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan isu nafkah sebelum suspek bertindak agresif terhadap bekas isterinya sehingga wanita itu mengalami kecederaan.
“Suspek turut menolak anak perempuannya yang berusia tujuh tahun sehingga kanak-kanak tersebut terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian lutut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, polis telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga, dengan kes kini masih dalam siasatan lanjut.
Abang Kaderi berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Muhammad Amirul Mohd Sharit di talian 016-6740989 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13369

Leave a Reply