KUALA SELANGOR 29 Dis – Impian seorang pemilik perniagaan kenderaan terpakai untuk menjual sebuah kereta mewah jenis Lamborghini terbantut apabila kenderaan berkenaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans telah tamat tempoh selama 15 bulan.
Tindakan penguatkuasaan itu diambil dalam pemeriksaan Ops Luxury di susur keluar Lebuh Raya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR) di sini, kira-kira jam 10.05 pagi semalam.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 34 tahun itu sedang dalam perjalanan ke Setia Alam bagi urusan jual beli kenderaan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kereta mewah tersebut gagal mempamerkan nombor pendaftaran di bahagian hadapan.
“Hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati LKM dan insurans kenderaan itu telah tamat tempoh sejak 15 bulan lalu.
“Alasan yang diberikan adalah kerana pemilik ingin menjual kereta tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azrin berkata, semakan lanjut turut mendapati pemandu berkenaan mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau termasuk gagal mematuhi had laju, tidak memiliki lesen memandu dan lesen memandu percubaan yang telah tamat tempoh.
Susulan itu, kenderaan terbabit disita dan dibawa ke Stesen Penguatkuasa (SPK) Ijok untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau menegaskan JPJ Selangor akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan terhadap semua aduan yang diterima.
“Ia bagi memastikan setiap kenderaan di jalan raya sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13359

Leave a Reply