Warga emas maut kereta ditusuk besi dalam kemalangan ngeri di Ayer Itam

GEORGE TOWN 29 Dis – Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan ngeri apabila kereta yang dipandunya ditusuk sebatang besi dalam kejadian di Ayer Itam, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Lim Soon Teik, 67, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Difahamkan, mangsa yang memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios secara bersendirian dipercayai memasuki laluan yang ditutup bagi kerja pemasangan kabel elektrik.

Akibat kejadian itu, tayar hadapan kenderaan mangsa terperosok ke dalam lubang yang dikorek untuk kerja pemasangan kabel sebelum sebatang besi di lokasi berkenaan menusuk dari bahagian bawah kereta hingga menembusi bumbung kenderaan.

Susulan kejadian itu, orang awam yang berada di lokasi tampil memberikan bantuan awal sebelum ketibaan pihak berkuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kenyataan media berhubung kejadian ini akan dikeluarkan kemudian,” katanya ketika dihubungi.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13353

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *