‘PAS Putuskan ADUN Tidak Sertai EXCO Perlis’ – Takiyuddin

PAS memutuskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi satu kenyataan media selepas PAS Pusat meneliti dan membuat pertimbangan terhadap situasi semasa berkaitan Kerajaan Negeri Perlis serta Perikatan Nasional (PN).

Menurut kenyataan itu, PAS bagaimanapun kekal komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaannya dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Sehubungan itu, semua anggota EXCO sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan Menteri Besar terdahulu.

Dalam perkembangan sama, PAS menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, selain mengambil langkah-langkah bagi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap Perikatan Nasional. PAS turut menyatakan kesediaannya untuk menerajui PN ke arah pengukuhan organisasi serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Kenyataan itu turut menegaskan komitmen PAS untuk terus menghormati lunas undang-undang, prinsip demokrasi, konsep Raja Berperlembagaan serta menjunjung kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail demi kemaslahatan negeri dan rakyat.

🔗 Source: https://thereporter.my/pas-putuskan-adun-tidak-sertai-exco-perlis-takiyuddin/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *